JOHOR BARU: Barisan Nasional (BN) Johor menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak disebalik tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani deklarasi menuntut peletakan jawatannya. Menteri Besar Datuk Mohamed Khaled Nordin yang juga Pengerusi Umno Johor berkata, negeri itu termasuk parti komponen Umno berdiri teguh di belakang kepimpinan Najib. Katanya, BN negeri itu tidak boleh menerima tindakan Dr Mahathir menandatangani deklarasi rakyat menuntut Najib meletak jawatan sebagai perdana menteri. "Dr Mahathir telah meninggalkan Umno dan tindakannya itu tidak dijangka seperti yang kita semua tahu, beliau akan melakukan apa sahaja untuk menggulingkan Najib. "Namun tindakannya (memulakan deklarasi) amat berbahaya kepada parti kerana ia akan memberi impak pada pilihan raya umum akan datang," katanya selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina Gerakan Johor di Skudai pada Sabtu. Empat hari selepas mengumumkan keluar Umno, Dr Mahathir telah bekerjasama dengan tokoh utama politik dan pemimpin masyarakat sivil untuk menandatangani deklarasi rakyat bagi menuntut penyingkiran Najib. Kumpulan tersebut yang terdiri daripada 50 individu termasuk Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digantung tugas, penasihat DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik menandatangani deklarasi dalam satu sidang media 'Selamatkan Malaysia' di rumah kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya di sini pada petang Jumaat.