suria

Kesemua Mangsa Rentung Selamat Dikebumikan

Jenazah empat sekeluarga disembahyangkan dan dituntut kaum keluarga untuk dikebumikan di Kampung Wakaf Tengah Mengabang Telipot, Kuala Terangganu setelah selesai bedah siasat di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). - fotoBERNAMA

KUALA NERUS: Jenazah empat sekeluarga yang ditemui rentung dalam sebuah kereta di Kilometer 265.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan selepas Terowong Menora, Perak pada Jumaat, selamat dikebumikan pagi Sabtu.

Jenazah kesemua mereka disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Hajar Kampung Gong Awang Lib, Batu Rakit kira-kira pukul 8.20 pagi.

Sebelum itu, kesemua jenazah selamat tiba di Kampung Wakaf Tengah kira-kira pukul 5.30 pagi dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak sebelum disembahyangkan di Masjid Pantai Mengabang Telipot.

Lebih 200 orang termasuk Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman, pegawai kanan Polis Kontinjen Terengganu, anggota keluarga dan rakan taulan turut menziarahi anggota keluarga Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Abd Ghani itu.

Awal pagi Jumaat, anggota keluarga berkenaan rentung dalam kemalangan itu ketika dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur bagi mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seorang daripada mangsa, Muhammad Aizat Mohd. Azhar, 18, di Maktab Tentera Diraja (MTD), Sungai Besi.

Mangsa lain adalah kakak Sharifuddin, Rosmani, 65, anak lelaki Rosmani yang juga bapa kepada Muhammad Aizat, Mohd. Azhar Abdul Rahim, 43, serta seorang lagi anak Mohd. Azhar, Muhammad Daniel, 13.

Keempat-empatnya ditemui kira-kira pukul 11 pagi Jumaat di bawah sebuah lori yang terbabas dan terbakar ketika operasi mengalihkan lori yang terlibat kemalangan pada pukul 1 pagi.

Sementara itu, suami Rosmani, Abdul Rahim Talib reda dengan kehilangan tragis empat anggota keluarga sekali gus.

Jelasnya penantian dan kegusaran mereka sejak lebih sehari menanti khabar berita anak dan isterinya akhirnya terjawab dengan penemuan kesemua mereka.

"Puas kami hubungi tapi gagal sehingga anak saya yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Memerintah Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Bentong, Pahang membawa 12 anggota tentera mencari mereka di sekitar lebuh raya hingga ke Taiping," katanya.  - BERNAMA

rentung, kemalangan, terowong Menora

Artikel Lain