KUALA LUMPUR: Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan menyerahkan replika cek bernilaiRM2.3 juta untuk pembelian mesin Computed Tomography-Simulator (CT-Simulator) bagi kegunaan pesakit kanser. Replika cek itu diterima Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam pada Sabtu. Mesin jenis Siemens Somatom AS dengan kapasiti 64 slice itu adalah mesin simulasi berteknologi tinggi dan mesin pertama seumpamanya di hospital kerajaan dan akan ditempatkan di Pusat Rawatan Onkologi, Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Baharu. Terdahulu, Dr Subramaniam dalam ucapannya pada majlis penyerahan berkata pemberian mesin CT Simulator itu adalah atas keprihatinan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar terhadap hal-hal melibatkan kesihatan rakyat. "Dengan pembelian mesin ini, perkhidmatan rawatan radioterapi di Johor akan dapat diteruskan semula dan sekaligus memendekkan masa menunggu untuk rawatan itu," katanya. Beliau berkata mesin CT-Simulator sedia ada di HSI sudah beroperasi melebihi 12 tahun sejak 2004 dan digunakan ramai pesakit iaitu 541 orang pada 2008 namun meningkat kepada 1,306 pesakit pada tahun lepas. Katanya akibat daripada itu, mesin itu sering rosak. Pada sidang akhbar, Dr Subramaniam berkata Pusat Rawatan Onkologi di HSI selain merawat pesakit kanser di Johor juga mereka dari negeri-negeri berdekatan. Beliau berkata selain di HSI, mesin CT-Simulator turut ditempatkan di Pusat Rawatan Onkologi di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak. Dr Subramaniam berkata pihaknya merancang menambah mesin seumpama itu pada masa akan datang.