suria

Bekas Pemimpin Bersekongkol Dengan Pembangkang Tidak Gugat Pengislahan Umno

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (kanan) menyusun botol yang akan diproses untuk diisikan susu pada sesi lawatan ke Syarikat The Holstein Milk Sdn. Bhd, Sabtu.

JOHOR BARU: Proses pengislahan Umno tidak akan tergugat meskipun dengan penglibatan bekas pemimpin kanan negara dalam Deklarasi Rakyat, kata anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata tindakan beberapa bekas beberapa pemimpin negara termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bekerjasama dengan pembangkang tidak mampu menjejaskan proses pengislahan parti keramat orang Melayu itu.

Sebaliknya, beliau menyifatkan tindakan sedemikian bukan sesuatu yang luar biasa malah ia antara cabaran yang akan dilalui setiap parti dan pemimpin, terutamanya parti memerintah.

Malah, beliau percaya keupayaan pemimpin mahupun parti menempuh cabaran seperti itu akan menjadikan parti lebih kuat.

"Saya rasa ia umpama alunan-alunan ombak yang dilalui oleh setiap parti dan terutama sekali parti memerintah dan pemimpin lebih-lebih lagi mereka yang membarisi pucuk pimpinan sesebuah parti.

"Jadi, jika kita lihat sejarah lalu, ia satu perkara yang normal dalam mana-mana perjuangan yang terpaksa dilalui parti," katanya diminta mengulas tindakan Dr Mahathir dan beberapa bekas pemimpin Barisan Nasional bekerjasama dengan pembangkang menerusi Deklarasi rakyat semalam semata-mata untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahmad Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian selepas melawat Syarikat Allied Dairy Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Larkin, di sini, Sabtu.

Katanya, apa yang berlaku itu bukan perkara baharu malah semasa zaman Dr Mahathir juga pernah dilanda krisis, bezanya setiap zaman mempunyai cabaran yang berlainan.

Menurutnya, ada tiga kaedah yang boleh digunakan dalam mengubah sesebuah parti atau tampuk pemerintahan, iaitu menerusi proses pilihan raya, Parlimen atau menerusi parti masing-masing dan bukannya dilakukan di luar sistem.-- Bernama


Artikel Lain