TELUK INTAN: Hakisan di tebing Sungai Perak khususnya di kawasan Pasir Bedamar dan Jeti Kampung Terengganu di sini berlaku sejak lebih 30 tahun lalu sehingga terdapat kawasan daratan yang terhakis sepanjang 100 meter, demikian dakwaan penduduk tempatan. Penduduk yang ditemui semasa tinjauan Bernama di kawasan berkenaan mendakwa hakisan tebing yang semakin membimbangkan itu, antara lain berpunca daripada aktiviti mendalam dan mengorek pasir sungai. Tan Chin Seong, 71, berkata pada sekitar 80-an terdapat sebuah jeti di kawasan berkenaan yang digunakan untuk mengangkut barang ke Kampung Gajah, Seberang Perak, namun ia telah lenyap kesan daripada hakisan yang lama berlarutan. "Selain itu, dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, saya kira lebih 10 buah rumah di tepi tebing sungai ini telah runtuh dan lenyap disebabkan hakisan tebing," katanya. Chin Seong yang juga peniaga kedai makan berkata, paling menghantui penduduk adalah apabila tibanya musim tengkujuh kerana ia menyebabkan hakisan di tebing Jalan Woo Saik Hong hingga ke Jeti Kampung Terengganu bertambak teruk. Tinjauan Bernama juga mendapati Tokong Dato Tua Jing Sa Gong di sini berdepan risiko untuk runtuh pada bila-bila masa sahaja sekiranya berlaku air pasang besar memandangkan jaraknya dengan tebing sungai hanya 50 meter. Perkara itu diakui penjaga rumah ibadat tersebut yang dikenali sebagai Kam 65, apabila berkata sekurang-kurangnya 40 meter tanah tokong itu telah terhakis selain pergerakan tanah sering berlaku. Malah, katanya sebuah kunci air yang dibina enam bulan lalu berhampiran tokong berkenaan runtuh baru-baru ini dan menyebabkan air dari kawasan perumahan berhampiran tidak dapat mengalir keluar ke sungai dengan lancar. "Saya harap pihak berwajib segera menyelesaikan perkara ini kerana dikhuatiri jika lambat akan menyebabkan tanah berhampiran terhakis dibawa arus sungai," katanya. Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong berkata sebahagian bandar Teluk Intan akan tenggelam seterusnya menjadi pulau dalam tempoh 50 tahun lagi jika hakisan tebing di sekitar Sungai Perak tidak diatasi. Sehubungan itu, Mah berkata kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk membina ban atau tambak batu di tebing Sungai Perak bagi mengatasi masalah hakisan tebing dan banjir dan dijangka siap hujung tahun depan. -- Bernama