suria

MH370: Pasukan Penyiasat Malaysia Temui Pihak Mozambique Pada Isnin

KUALA LUMPUR: Pasukan penyiasat MH370 Malaysia akan menemui pihak penerbangan awam di Mozambique bagi meneliti serpihan logam yang ditemui di pantai negara itu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pasukan itu telah tiba di sana dan akan menyertai rakan dari Australia untuk mengenal pasati serpihan itu.

"Pasukan dari Malaysia akan menemui ketua pengarah penerbangan awam Mozambique pada Isnin.

"Kami tiada halangan jika serpihan itu akan dibawa ke Australia untuk diperiksa.

"Apa yang penting, jika ia memang milik pesawat MH370, ia perlu dibawa pengawasan kita," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmikan Wisma MCA Kepong pada Ahad.

Tiong Lai berkata, lokasi logam itu ditemui terletak dalam kedudukan kawasan pencarian pesawat yang hilang iaitu di selatan Lautan Hindi.

Katanya, setakat ini tiada perancangan untuk memperluaskan kawasan pencarian kepada lebih 120,000 kilometer persegi yang dijangka selesai pada Jun ini.

"Sehingga tempoh itu, pertemuan tiga pihak melibatkan Malaysia, Australia dan China akan diadakan jika pesawat itu masih gagal ditemui.

"Pihak pakar akan memberi nasihat berkaitan pencarian dan tindakan lanjut pada masa depan," katanya.

Katanya lagi, kenyataan awal akan dikeluarkan pasukan penyiasat pada 8 Mac berkaitan peraturan ICAO pada hari ulang tahun ke dua tragedi yang melibatkan 239 penumpang itu.

Mozambique, MH370, Liow Tiong Lai

Artikel Lain