suria

Gadis Potong Kemaluan Lelaki Di Kebun Pisang

Gambar hiasan.

GUA MUSANG: Seorang lelaki warga Indonesia yang bekerja di sebuah ladang sawit Pos Pulat di sini, putus kemaluannya disyaki dipotong seorang gadis warga Thailand malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah berkata kejadian berlaku pukul 8.30 malam dalam kebun pisang di belakang surau Kampung Gua Air yang terletak kira-kira lapan kilometer dari Pos Pulat.

Sebelum kejadian mangsa, yang berumur 36 tahun tinggal di rumah kongsi pekerja ladang di Pos Pulat, telah ke Kampung Gua Air menaiki sebuah motosikal bersama seorang rakannya, katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Saiful Bahri berkata mangsa tiba di kampung itu untuk menunaikan solat Maghrib, manakala rakannya duduk di kedai berhampiran sambil berbual menerusi telefon bimbit.

Beliau berkata sebaik selesai solat Maghrib, mangsa turun dari surau itu lalu seorang gadis yang dikenalinya mengheret tangannya masuk ke kebun pisang sebelum gadis itu membuka seluar mangsa dan tanpa disedari, bertindak memotong kemaluannya.

Katanya mangsa menyedari kemaluannya dipotong selepas terasa sakit lalu meraung meminta tolong, manakala suspek terbabit sudah beredar dari tempat kejadian.

Beliau berkata imam surau berkenaan yang terdengar jeritan mangsa meminta tolong, bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kemaluan mangsa berlumuran darah.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Gua Musang sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Baru untuk rawatan lanjut.

Polis sedang mengesan gadis berusia 19 tahun itu untuk membantu siasatan, katanya. - BERNAMA

potong kemaluan, kebun pisang

Artikel Lain