suria

Jambatan Gantung Putus, SK Ulu Budu Ditutup

KUCHING: Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Budu, Saratok terpaksa ditutup pada Isnin disebabkan jambatan gantung yang menghubungkan sekolah berkenaan terputus akibat kejadian banjir malam Ahad.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata kejadian itu turut menyebabkan seorang guru perempuan berusia 35 tahun di sekolah berkenaan terkandas di kuarters sekolah bersama tiga anaknya dan adik perempuannya.

Ketika kejadian suami guru berkenaan tidak berada di rumah kerana bekerja di Korea Selatan.

Katanya walaupun banjir di SK Budu sudah surut pagi tadi, murid tidak dapat ke sekolah disebabkan jambatan gantung menghubungkan sekolah mereka terputus.

Jurucakap itu berkata guru besar SK Ulu Budu memaklumkan kepada pihaknya ketika kejadian banjir malam Ahad, hanya guru wanita terbabit bersama tiga anaknya yang berusia tiga hingga 10 tahun dan adik perempuannya berada di kuarters sekolah berkenaan.

Katanya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Saratok berjaya membawa keluar kelima-lima mangsa dengan menaiki perahu pada pukul 2.30 petang Isnin.

Jurucakap itu berkata hujan lebat malam Ahad juga menyebabkan tanah runtuh yang merosakkan struktur kelas sekolah berkenaan. - BERNAMA

SK Ulu Budu, jambatan gantung, banjir

Artikel Sebelum

Artikel Lain