suria

Dua Mayat Hampir Reput Ditemui Dalam Sub Stesen Jana Elektrik

KEMAMAN: Mayat dua lelaki yang hampir reput dijumpai dalam sebuah sub stesen penjana elektrik di kawasan kilang besi di sini Ahad malam.

Mayat disedari apabila anggota polis bantuan yang sedang melakukan rondaan di sekitar kawasan kilang tersebut sebelum terhidu bau busuk.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Mohd Said Ibrahim berkata, sejurus menerima panggilan kira-kira pukul 8.15 malam, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya pihak polis terpaksa memecahkan pintu bangunan tersebut kerana ia berkunci dan mendapati dua mayat berada di dalam bangunan tersebut.

"Kita tidak menolak kemungkinan mayat tersebut sudahpun tiga hari berada di dalam bangunan tersebut berdasarkan kepada keadaan mayat yang sudah mula mereput," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya atas faktor keselamatan pihak polis terpaksa memanggil sepasukan 19 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai untuk mengeluarkan mangsa yang berada di bawah kabel elektrik bervoltan tinggi.

Beliau berkata, mayat pertama dibawa keluar pada pukul 12.25 pagi manakala, mayat kedua pada pukul 1.42 pagi.

Mohd Said berkata turut dijumpai pada mayat tersebut ialah barang peribadi mangsa yang membawa kepada penemuan kad pengenalan yang tertera nama Anuar Husin, 46, yang berasal dari Kampung Payoh, Kemasek dan Rosli Abdul Rahman, 42, yang berasal dari Kampung Ibok, Kemaman.

"Kedua-dua mangsa dipercayai menceroboh masuk ke kawasan berkenaan ekoran maklumat pihak pengurusan kilang berkenaan mengesahkan kedua mangsa bukan kakitangan kilang tersebut," katanya.

Kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Jelasnya setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Siasatan lanjut masih dijalankan sekiranya terdapat unsur-unsur jenayah pada mayat mangsa selepas memperolehi keputusan hasil bedah siasat," katanya.-- Bernama


Artikel Lain