KUALA LUMPUR: Serpihan kedua yang ditemui di pulau La Reunion, milik Perancis yang terletak di Lautan Hindi pada Khamis lepas dipercayai mungkin milik pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi. "Kita boleh menjangkakan ini kerana berdasarkan pengiraan kemungkinan serpihannya hanyut boleh berlaku kerana ia perlu berada di sekitar kawasan itu. "Jadi mana-mana serpihan yang ditemui di kawasan itu secara tentatifnya mungkin adalah daripada MH370. Ia akan disahkan selepas ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin. Objek berukuran kira-kira 40 kali 20 sentimeter itu ditemui di tepi pantai pada Khamis lepas. AFP melaporkan bahawa serpihan itu ditemui oleh Johnny Begue ketika dia keluar berjoging di tepi pantai. Menurut agensi berita itu, Begue juga merupakan orang yang menemui "Flaperon", serpihan sayap pesawat daripada pesawat yang hilang itu, semasa membersihkan pantai pada Julai tahun lepas. Selain itu Ab Aziz berkata, sepasukan tiga anggota dari Malaysia telah dihantar ke Mozambique untuk mengesahkan sama ada bahagian yang ditemui itu adalah milik MH370. Pesawat Boeing 777 Penerbangan MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal hilang pada awal pagi 8 Mac 2014, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Esok (Selasa) menandakan tempoh dua tahun kehilangan misteri pesawat itu meskipun usaha pencarian besar-besaran dilakukan di dasar laut di selatan Lautan Hindi oleh pihak berkuasa Australia, Malaysia dan China.