KUALA LUMPUR: Seorang ibu yang masih berpantang didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan membunuh bayinya yang baru dilahirkan. Norazwani Mohd Noh, 39, didakwa membunuh bayinya dengan membaling bayi itu dari tingkat 18, Block C, Flat Danau Kota, Jln 3/23D Off Jalan Genting Klang, Setapak di sini pada 8.11 pagi, 29 Februari lepas. Wanita yang bekerja sebagai ejen hartanah itu yang kelihatan murung didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang turut mempunyai seorang lagi anak berumur berumur lima tahun. Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan 9 Mei depan untuk sebutan semula kes wanita itu yang tidak diwakili peguam sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia. Selepas prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa memberitahu pemberita bahawa tertuduh kini ditahan di Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan kerana menghidap darah tinggi.-- Bernama