KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Ahmad Said pada Selasa mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman. Usul berkenaan dikemukakan oleh bekas menteri besar Terengganu itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebentar tadi. Sehubungan itu, Yang Dipertua DUN, Datuk Mohd Zuber Embong bertindak menangguhkan persidangan bagi mengkaji butiran usul itu sebelum membuat keputusan lanjut mengenainya. Terdahulu, Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal mengemukakan usul undi tidak percaya itu ketika berucap membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.