TAMPIN: Dua murid sekolah rendah yang mandi di sebuah sungai di Felda Sg Kelamah, Gemas dekat sini, ditemui mati lemas oleh penduduk kampung yang datang untuk menyelamatkan mereka. Muhammad Ashmik Zafir Md Zahid dan Muhammad Firman Radhi masing-masing berusia 11 tahun pergi ke sungai tersebut bersama beberapa rakan sekolah yang lain. Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Wooi Kooi Cheang berkata beberapa rakan mangsa tidak dapat mencari mereka dan berlari mendapatkan bantuan daripada penduduk berhampiran. "Penduduk kampung bergegas ke kawasan sungai dan berjaya menarik kedua-dua mangsa ke tebing sungai tetapi mereka sudahpun meninggal dunia," katanya. Wooi berkata mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.