suria

Syarikat Bekas Menteri Nafi Tak Bayar Gaji Pekerja

Zulhasnan Rafique.

KUALA LUMPUR: Seri Meraga Properties Sdn Bhd pada Rabu menafikan dakwaan bekas pekerja syarikat itu kononnya tidak dibayar gaji sehingga terbabit dalam kejadian mencuri di kediaman pengerusinya.

Pengarah Urusan syarikat itu, Zafrullah Md Noor berkata, bekas pekerjanya itu telah dibayar gaji sepanjang tiga bulan dia berkhidmat iaitu pada Oktober, November dan Disember tahun lepas.

Beliau yang hadir ke Bernama bagi memberi penjelasan berhubung perkara itu, turut membawa salinan borang permohonan kerja, surat tawaran kerja, notis penamatan kerja dan slip gaji bekas pekerjanya itu. 

"Untuk pengetahuan anda, orang yang didakwa dan disabitkan kesalahan, Mohd Effendy Jainudin ialah pekerja kami sehingga 8 April 2016 selepas dia diberhentikan kerana tidak hadir ke pejabat lebih daripada dua hari.

"Laporan yang menyebut Mohd Effendy dalam rayuan hukuman ringan di mahkamah memberi alasan terdesak mencuri kerana bekas majikannya tidak membayar gajinya selama tiga bulan adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Zafrullah berkata, syarikat itu mematuhi sepenuhnya semua peraturan berhubung kontrak pekerjaan dengan Mohd Effendy termasuk pembayaran gaji dan bonus sehingga tarikh notis penamatan kerjanya.

Pada 26 Februari lepas, Mohd Effendy dilaporkan dijatuhi hukuman penjara enam hari dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah mencuri komputer riba pengerusi syarikat itu yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Zulhasnan Rafique. - Bernama

Artikel Lain