suria

Tiga Maut Nahas Perodua Alza Langgar Pokok Kelapa Sawit

JOHOR BARU: Tiga termasuk dua wanita maut manakala seorang lagi cedera apabila kenderaan Perodua Alza yang dinaiki terbabas dan melanggar pokok kelapa sawit di Km1.5, Jalan Kangkar Senangar-Pagoh dekat Batu Pahat, Rabu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mereka yang maut adalah pemandunya, Tan Cherk Wee, 48, dan dua penumpang wanita, Phong Ai Li, 46 serta Loh Ah Moi, 62, manakala yang cedera, seorang lagi lelaki, Tan Yee Keong, 64.

"Kejadian berlaku kira-kira 5.30 pagi ketika kesemua mangsa sedang dalam perjalanan dari Pagoh menghala ke bandar Batu Pahat. 

"Dipercayai Cherk Wee, hilang kawalan terhadap kenderaan itu yang menyebabkan terbabas melanggar tiang telefon lalu menuruni cerun jalan dan melanggar pokok kelapa sawit," katanya ketika dihubungi.

Din berkata Cherk Wee, Phong dan Loh meninggal dunia serta merta di tempat kejadian dan mayat mereka kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, untuk bedah siasat, manakala Yee Keong turut dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.--Bernama

Perodua Alza, kelapa sawit, Din Ahmad

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia