KUALA LUMPUR: Umno tetap tenang dan tidak akan terburu-buru mengambil tindakan terhadap anggota parti itu yang terbabit dalam "Deklarasi Mahathir" baru-baru ini, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa. Bagaimanapun, beliau berkata, parti itu tidak memandang remeh isu itu dan akan mengambil kira segala aspek termasuk pandangan akar umbi sebelum bertindak terhadap ahlinya yang jelas bersekongkol dengan pihak pembangkang itu. "Lagipun kita ada pelbagai biro dan jawatankuasa di dalam parti untuk menilai apa yang telah berlaku. "Umno tidak panik. Kita akan tenang tapi ambil serius serta tidak pandang remeh apa yang berlaku. "Pada masa yang sama, disiplin dan ketegasan itu sentiasa ada dalam parti. Biarlah rakyat menilai apa yang telah berlaku," katanya ketika menjadi tetamu program 'Soal Jawab' di TV3, Sri Pentas pada Rabu. Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh mengulas mengenai tindakan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lepas mengetuai kumpulan lebih 50 orang termasuk Lim Kit Siang daripada DAP dan Menteri Besar Selangor, Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR dalam memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri. Deklarasi itu turut ditandatangani bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik. Annuar berkata, apa sahaja isu yang dibangkitkan termasuk usaha menjatuhkan kerajaan, perlu ditangani dengan bijak. "Walaupun apa jua masalah yang timbul, kita jangan tinggalkan dan lupa amanah yang diberikan rakyat. Lihatlah masalah rakyat, negara, masalah dalam dan juga masalah dari luar. "Pada masa yang sama, harus diiingati, Perdana Menteri Malaysia tidak boleh diturunkan atau dijatuhkan dengan deklarasi atau kempen tersebut. "Pembangkang boleh wujudkan pelbagai isu tetapi kita sebagai kerajaan yang memerintah, perlu mencari jalan penyelesaian, kita ada masa dua tahun, janganlah semua hendak lepaskan kerja, utamakanlah kepentingan rakyat," katanya. Annuar berkata, rakyat perlu melihat kempen deklarasi itu secara bijak dan pada masa yang sama menilai siapa sebenarnya dalang dan apa tujuan ia diadakan. "Ada tiga kategori orang menonton wayang. Yang pertama, mereka akan terikut-ikut jalan cerita dan terbawa-bawa (ke luar). "Kedua, ada yang melihat tapi dapat kawal emosi. "Yang ketiga, akan berfikir siapa pengarah, pelakon dan sebagainya. "Jadi sebagai orang lama dalam politik yang sudah melihat beberapa politik dalam negara, saya melihat kempen deklarasi ini dalam konteks ketiga. "Ini kerana Tun Mahathir seorang strategist. Jadi kena lihat beberapa langkah ke hadapan. "Harus diingati, beliau pandai menggunakan keupayaan orang lain untuk memenuhi matlamatnya," kata Annuar. - Bernama