SEREMBAN: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu berkaitan pelaburan Forex melibatkan jumlah RM1 juta, lima tahun lepas. Norhuda Mahat, 55, yang tidak bekerja, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah. Mahkamah membenarkan wanita itu diikat jamin sebanyak RM100,000 bagi semua pertuduhan dengan dua orang penjamin dan menetapkan 11 April untuk sebutan semula kes. Bagi pertuduhan pertama, Norhuda didakwa menipu, Nor Latifah Harun, 51, dengan mempengaruhinya untuk memasukkan wang tunai RM500,000 ke dalam akaun bank RHB milik tertuduh, sebagai urusan pelaburan Islamic Forex Trading yang tidak wujud, di RHB Seremban, pada 10 Januari 2011. Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa menipu mangsa sama ditempat sama dengan mempengaruhinya untuk memasukkan wang tunai RM350,000 dan RM150,000 dalam akaun bank RHB pada 7 Januari 2011. Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, didenda dan sebat, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Ab Rashid manakala tertuduh diwakili peguam Nor Azri Mohd Arif.-- Bernama