suria

Beg Holdall Terbesar Dunia Kini Di Kuantan

Bag jenis 'Holdall' terbesar dunia yang mendapat pengiktirafan World Guiness Record serta Malaysia Book Of Record dipamerkan di sebuah pasaraya, Jumaat.
Beg itu dihasilkan menggunakan 2,984 helai kemeja terpakai dan mengambil masa enam bulan untuk disiapkan dengan kerjasama 1,492 peserta.

KUANTAN: Beg pegang 'holdall' yang merupakan yang terbesar di dunia seumpamanya kini dipamerkan di Megamall Kuantan selama 10 hari mula Jumaat.

Ia dikatakan boleh memuatkan dua buah kereta MyVi.

Pengarah Pemasaran Mostwell Sdn Bhd yang mengendalikan Pusat Latihan Kraftangan Epal, Eric C.H Chua berkata beg itu dihasilkan 1,492 individu dengan setiap seorang menyumbang dua helai kemeja terpakai sebagai material utama beg berkenaan. 

"Setiap kemeja dipotong menjadi perca kecil dan dijahit bersama-sama perca kemeja lain sehingga menjadi sebuah beg berukuran 7.62 meter panjang, 3.04 meter lebar dan 5.6 meter tinggi.

"Penghasilan beg ini turut mempunyai cerita tersendiri dan nilai sentimental kepada pesertanya. Misalnya ada peserta yang menyerahkan baju kemeja pertama yang dipakai suaminya ke tempat kerja untuk diabadikan pada beg ini," katanya  kepada pemberita.

Eric berkata beg tersebut turut mengharumkan nama Malaysia sebagai pemegang rekod dunia bagi kategori beg holdall terbesar yang diktiraf pada 29 Mei tahun lepas.

Phyllis Chan,30, menemani neneknya Tung Sew Hoong,91, teruja melihat beg ‘Holdall’ terbesar di dunia dari perca kain yang dipamerkan di Megamall Kuantan.

Sebanyak 31 agensi kerajaan, institusi pendidikan, badan bukan kerajaan dan sekolah menyumbang tenaga dalam proses pembuatan beg itu yang mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan mulai 15 Disember 2014. 

"Proses menjahit dilakukan di tempat mereka di seluruh negara dengan peringkat akhir iaitu mencantumkan semua jahitan dilakukan di Pusat Epal di Puchong, Selangor," katanya. 

Eric berkata beg berwarna-warni itu telah dan akan dipamer ke seluruh negara termasuk Melaka, Terengganu, Selangor, Sabah dan Sarawak.

Di Megamall Kuantan, Epal turut mempamer beg buatan tangan lain daripada bahan terpakai termasuk daripada botol minuman.

"Pengunjung juga dapat mengikuti kelas jahitan bersama 16 tenaga pengajar Pusat Epal yang menunjukkan cara-cara menghasilkan karung tisu yang boleh disiapkan dalam tempoh kurang daripada 10 minit," katanya. -- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain