suria

'Deklarasi Mahathir' Hanya Gimik, Main Sentimen Rakyat Jatuhkan Pemimpin Negara - Annuar

Annuar Musa.

KOTA BARU: 'Deklarasi Mahathir' hanya gimik dan bermain dengan sentimen rakyat untuk menjatuhkan pemimpin negara, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata negara ini mempunyai sistem demokrasi yang berlandaskan kepada pilihan raya dan perlembagaan untuk menentukan "naik turunnya" seseorang perdana menteri.

"Dalam negara kita, naik turun perdana menteri itu ada kaedah tertentu dan kalau kita buat kerja di luar kaedah sedangkan kita bekas perdana menteri yang sepatutnya lebih faham, saya khuatir itu akan menjejaskan kewibawaan Tun Dr Mahathir sendiri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan masyarakat Tiong Hua sempena sambutan Tahun Baru Cina di Kampung Tokong di sini, Jumaat.

Pada Jumaat lepas, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kumpulan lebih 50 orang termasuk Lim Kit Siang daripada DAP dan Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR, memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Deklarasi itu turut ditandatangani bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Mengenai PAS yang mengumumkan parti itu akan membentuk blok baharu pembangkang pada 16 Mac ini, Annuar berkata ada pihak yang cuba meniru konsep Barisan Nasional (BN) yang bekerjasama dengan parti-parti politik yang mewakili semua kaum.

"Sejarah membuktikan kita sebuah parti dalam pakatan yang sangat tulen, masuk pilihan raya dengan hanya satu lambang sahaja berbanding sesetengah parti dia bergabung tetapi apabila masuk pilihan raya atas lambang masing-masing, kemudian dia bergaduh selepas pilihan raya," katanya dengan menambah konsep yang diamalkan BN adalah satu konsep yang utuh.

Pada Khamis, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu akan menjalin kerjasama dengan sebuah parti bagi memperkukuhkan kedudukannya untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau tidak menamakan parti itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain