KOTA BARU: Pasukan pakar dari Malaysia akan berangkat ke Australia bagi memeriksa penemuan terbaharu serpihan pesawat dipercayai milik MH370 yang ditemui oleh seorang remaja di Afrika Selatan. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, serpihan tersebut bakal dihantar ke Australia untuk dianalisis. Jelasnya, jika bukti penemuan itu benar, ia akan memberi lebih banyak petunjuk mengenai kedudukan pesawat Boeing 777 yang hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China. Serpihan ringan yang bewarna kelabu dengan ukuran panjang lebih kurang satu meter itu turut tercatat numbor siri 676EB. Remaja yang menemui serpihan tersebut, Liam Lotter memberitahu media Afrika Selatan bahawa dia telah menemui sekeping logam berukuran satu meter panjang di pantai semasa bercuti di Mozambique Disember lalu dan membawanya pulang ke rumah. Berita mengenainya tersebar awal bulan ini apabila sekeping serpihan pesawat ditemui di Mozambique selepas keluarganya menghubungi pihak berkuasa. AFP melaporkan: "Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Afrika Selatan telah ke lokasi untuk mengambil serpihan itu dan kemudiannya akan dihantar ke Australia, negara yang dilantik Malaysia untuk menyiasat mana-mana bahagian pesawat yang ditemui," kata jurucakap Kabelo Ledwaba dalam satu kenyataan pada Jumaat.