KUALA LUMPUR: Satu lagi serpihan pesawat dipercayai milik MH370 yang dijumpai di Mozambique baru-baru ini akan dibawa ke Malaysia tidak lama lagi.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, serpihan itu yang kini berada di Afrika Selatan dijangka tiba di sini dalam tempoh seminggu.
Ia merupakan serpihan kedua dipercayai milik pesawat berkenaan, yang ditemui di negara Afrika.
Tiong Lai berkata, dua serpihan tersebut akan dihantar ke Australia untuk pengesahan sama ada ia adalah milik pesawat MH370 yang hilang.
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Pesawat Boeing 777 itu dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi.
Setakat ini, hanya satu serpihan yang disahkan milik pesawat itu, yang ditemui di Pulau Reunion pada September tahun lalu.