suria

Lima Lelaki Nigeria Ditahan Disyaki Palsu Dokumen

MELAKA: Jabatan Imigresen menahan lima lelaki warga Nigeria disyaki terlibat dalam aktiviti pemalsuan dokumen dan penyamaran penipuan cinta siber di sini awal pagi Selasa.

Penolong Pengarah Kanan Imigresen, Mohamed Lamsah Othman berkata, mereka ditahan di sebuah rumah di Pangsapuri Sri Johor, Ujong Pasir dalam operasi yang bermula pukul 11 malam. 

Katanya, "Bertindak hasil maklumat dan risikan, anggota kita mengekori salah seorang daripada yang ditahan berjalan kaki dari Semabok sehingga ke rumahnya. 

"Ketika serbuan dijalankan, kita menghadapi kesukaran kerana mereka tidak memberi kerjasama untuk membuka pintu...selepas 20 minit kita berjaya masuk ke dalam rumah," katanya kepada pemberita selepas operasi itu.  

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati lima warganegara Nigeria berumur antara 25 hingga 50 tahun gagal mengemukakan dokumen sepatutnya. 

Mohamed Lamsah berkata, sewaktu pemeriksaan dijalankan, pihaknya menemui beberapa komputer riba, gambar, surat dan dokumen yang cuba dipalsukan.   

"Kesemua barang ini kita sita dan akan jalankan siasatan lanjut.   

"Kita percaya kumpulan ini ada menjalankan aktiviti penipuan cinta siber atau 'Love Scam' kerana memiliki salinan 'soft copy' berkaitan aktiviti itu," katanya.

Beliau berkata, empat daripada mereka ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) c Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk ke negara ini tanpa permit sah. 

Manakala seorang lagi ditahan kerana melakukan kesalahan Seksyen 15(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebih tempoh masa dibenarkan. - Bernama

Artikel Lain