suria

Tun M 'Panjat' Pentas Ceramah Pembangkang

PETALING JAYA: Selepas mengetuai Deklarasi Rakyat bagi mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan, Tun Dr Mahathir Mohamad kini bakal berkongsi pentas ceramah dengan pembangkang untuk meneruskan matlamatnya.

Selain Dr Mahathir, Timbalan Presiden Umno yang digantung jawatan, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dijadual akan menyertai pehimpunan yang dikenali sebagai 'Muafakat Selamatkan Malaysia' pada 28 Mac ini.

Penyelaras Sekretariat, Mohd Rafizi Ramli berkata, ceramah berkenaan akan diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah, Kuala Lumpur.

"Pengesahan ini diberikan oleh Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang menyelaraskan program bagi pihak Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menurut Rafizi yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), perhimpunan yang bakal diisi dengan pidato politik, deklamasi sajak dan persembahan pentas itu akan turut dihadiri pemimpin utama pakatan pembangkang.

"Himpunan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan saya menggesa seberapa ramai rakyat yang prihatin dengan masa depan negara untuk turun menyemarakkan gelombang reformasi," katanya.

Pada 4 Mac lalu, Tun Dr Mahathir bersama 50 yang lain termasuk pemimpin dan aktivis pembangkang menandatangani Deklarasi Rakyat bagi menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri.

Turut sama ialah Muhyiddin dan juga bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Deklarasi itu turut mendapat sokongan daripada Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Artikel Lain