suria

Ibu Bapa Tak Puas Hati Guru Besar Kongsi Gambar Lucah Hanya Ditukar Sekolah

KOTA KINABALU: Keputusan untuk memindahkan segera guru besar yang berkongsi gambar-gambar dan klip video lucah dalam kumpulan chat WhatsApp telah menimbulkan kemarahan ramai ibu bapa.

Beberapa ibu bapa mempersoalkan tindakan Jabatan Pendidikan Sabah yang menukarkan guru besar itu ke sekolah luar bandar selepas tercetusnya kontroversi tersebut.

"Tingkah lakunya adalah serius dan membimbangkan. Bagaimana Jabatan Pendidikan hanya memindahkannya ke sekolah lain?

"Mereka perlu mengeluarkannya dari sekolah dan menempatkannya di pejabat jabatan itu sementara menunggu keputusan," kata ibu bapa yang marah, namun enggan nama mereka disiarkan.


Guru besar yang telah membentuk kumpulan WhatsApp itu telah ditangkap memuat naik video dan berkongsi gambar-gambar lucah oleh salah seorang ahli kumpulan itu.

Individu tersebut, yang segera meninggalkan kumpulan aplikasi perbualan telefon itu dan mendakwa dirinya seorang blogger yang berpangkalan di Sandakan telah menimbulkan kebimbangan tentang isu ini.

"Kumpulan WhatsApp itu telah dipadam," katanya yang tidak mahu mendedahkan dirinya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip berkata, siasatan sedang dijalankan dan langkah untuk memindahkan guru besar itu adalah 'langkah segera' yang diambil oleh jabatan untuk menenangkan keadaan.

"Ramai ibu bapa marah dan kita memahaminya, itulah sebabnya langkah segera yang terbaik ialah dengan memindahkan guru besar itu," katanya.

Satu laporan mengenai kes itu akan difailkan dengan Kementerian Pendidikan untuk tindakan lanjut, katanya.

"Ini adalah kes terpencil dan kita perlu berhati-hati mengenai cara menanganinya," kata beliau sambil menambah sebarang tindakan tatatertib selanjutnya akan ditentukan oleh kementerian.

Ada yang mendakwa bahawa guru besar itu pernah memasukkan guru-guru sekolah dalam kumpulan itu tetapi mereka telah meninggalkannya serta-merta.


Seorang pegawai Kementerian Pendidikan berkata, hukuman paling keras yang mungkin dihadapi oleh guru besar itu adalah dipecat.

"Tetapi terdapat prosedur operasi standard yang perlu dipatuhi sebelum hukuman sampai ke tahap itu," katanya.

"Bukti kukuh juga perlu dikemukakan bagi menyokong kes."

Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP)  Datuk Lok Yim Pheng berkata, guru besar itu telah menunjukkan satu contoh yang sangat buruk kepada guru besar lain dan mencadangkan supaya dia dihantar untuk kaunseling.

"Bagaimanapun, kes ini sangat subjektif kerana tidak ada undang-undang yang menyatakan bahawa dia tidak dibenarkan melakukan apa yang telah dilakukan."
gambar lucah, guru besar, WhatsApp

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain