suria

Isu Derma RM2.6 Bilion Subjudis - Azalina

PETALING JAYA: Kerajaan sekali lagi mengulangi pendirian untuk tidak menjawab sebarang pertanyaan di Parlimen membabitkan isu derma politik sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan pendirian itu selari dengan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 23(1)(g) bahawa perkara berkenaan adalah subjudis kerana wujud proses undang-undang di mahkamah membabitkan isu tersebut.

"Perlu dijelaskan bahawa kenyataan media saya semalam adalah sebagai  menteri yang dipertanggungjawabkan untuk menjawab isu-isu berkaitan dengan Pejabat Perdana Menteri yang merangkumi isu RM2.6 bilion.

"Kita tidak dapat lagi menjawab pertanyaan-pertanyaan lisan dan bukan lisan termasuk ketika sesi penggulungan kerana selagi mana perkara ini dalam pertimbangan mahkamah (subjudis)," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Pada Selasa Azalina berkata isu kontroversi membabitkan derma RM2.6 bilion tidak boleh dibangkitkan di Parlimen berikutan wujudnya saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi oleh Majlis Peguam Malaysia terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada 14 Mac 2016.

Susulan itu Ahli Parlimen Puchong daripada DAP, Gobind Singh Deo mempersoalkan kedudukan Azalina untuk menentukan proses perjalanan sidang Dewan Rakyat yang disifatkan mendahului kuasa Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Menurut Gobind yang juga seorang peguam, penentuan sama ada sesuatu isu itu boleh dibangkitkan dan dibincangkan di Dewan Rakyat adalah prerogatif Speaker.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain