KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan diminta menyiasat dakwaan penjualan beberapa lot tanah di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) mendakwa tanah itu dijual secara tender bagi pembinaan hospital swasta dan hotel. Beliau mendakwa ada sumber yang menyebut Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam penjualan tanah itu. "Lot 305, 306, 313, 314 dijual sedangkan tanah tersebut dicadangkan untuk PPRT...adakah penjualan ini mendapat kebenaran Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan... minta menteri jawab," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Khamis. "Lebih menyedihkan lagi, apabila ia turut membabitkan isu pemilikan hartanah oleh YAB Bagan (Lim) pada Oktober 2015 yang boleh dikaitkan dengan isu penjualan tanah ini," katanya. Dalam pada itu, Shabudin juga mahu Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta (JPPH) menjelaskan sama ada penilaian semula telah dibuat dan turut meminta SPRM menyatakan laporan status kes pembelian hartanah berharga RM2.8 juta oleh Lim di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang sedangkan nilai semasa rumah tersebut dikatakan lebih RM3 juta. Beliau mendakwa rumah tersebut sebelum itu disewa kepada Lim dengan kadar RM5,000 sebulan setelah beliau enggan tinggal di rumah yang disediakan kerajaan negeri atas alasan ada anai-anai. "Adakah benar, adakah patut kadar sewaan RM5,000 dengan jumlah nilai rumah lebih RM3 juta... satu persoalan. Rumah ini disewa lebih kurang tujuh tahun, pada Oktober 2015 rumah ini dijual kepada YAB Bagan dengan harga yang begitu murah iaitu cuma RM2.8 juta. Rumah yang dibeli tujuh tahun dulu ialah RM2.5 juta dan ia satu kawasan utama di Georgetown setelah diubahsuai pula," katanya. Sementara itu, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional Tan Sri Shahrir Abdul Samad mencadangkan Shabudin dan pertubuhan bukan kerajaan membuat laporan polis mengenai perkara itu.