MUKAH: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Tan Sri Adenan Satem akan mengumumkan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Tellian dan Balingian, esok. Pengumuman itu akan dibuat beliau semasa perasmian Program Sejiwa Senada Bahagian Mukah di Dataran Pehin Setia Raja. "Saya akan buat pengumuman itu esok," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat Balingian di sini, Jumaat.Majlis yang dihadiri lebih 3,000 orang itu turut dihadiri barisan pemimpin tertinggi parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Pengumuman itu bakal menamatkan spekulasi tentang siapa yang bakal mewakili BN bagi kedua-dua kerusi berkenaan. Adun Balingian sekarang, Yusibbnosh Balo dikatakan akan bertanding di Tellian, satu daripada 11 kerusi baharu selepas persempadanan semula tahun lepas. Bagi kerusi Balingian, dua pemimpin akar umbi PBB di kawasan itu Abdul Yakub Arbi dan Sulaiman Sahari, disebut-sebut bersaing sengit untuk menjadi calon. Sebelum ini, anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sayap Wanita Pusat PBB Faridah Osman juga disebut-sebut mahu menjadi calon di Balingian namun dijangka tidak berbuat demikian selepas dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri baru-baru ini. Menjawab soalan pemberita, Adenan yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata, cadangan untuk menjadikan 22 Julai sebagai cuti umum akan dibawa ke kabinet pada akhir bulan ini. Tarikh tersebut adalah bagi memperingati hari kemerdekaan Sarawak dari koloni British.-- Bernama