PETALING JAYA: Sepanjang minggu ini, jelajah promosi Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) menemui peminat di tiga negeri pantai timur, masing-masing Pahang, Kelantan dan Terengganu. Teruja menyambut kunjungan skuad jelajah APO2016, peminat di sekitar pantai timur itu tidak melepaskan peluang untuk turut serta mencalonkan selebriti dan personaliti kesukaan mereka bagi merebut 18 kategori yang dipertandingkan. Pengurus Program Suria FM, Adiwati Zainuddin berkata, walaupun APO2016 baharu diperkenalkan, namun orang ramai yang ditemui di sepanjang siri jelajah memberi respons yang cukup baik. Menurutnya, peminat di Kelantan disifatkan paling sporting sepanjang kunjungan skuad jelajah APO2016 ke Kuantan, Kota Baru dan Kuala Terengganu. "Orang Kelantan memang sangat sporting. Mereka memang tunggu kunjungan skuad APO2016. "Apa yang menarik ialah mereka sudah pun tahu mengenai penganjuran APO2016. Kita tak perlu nak cerita panjang, mereka sudah sedia nak isikan pencalonan," katanya. Skuad jelajah APO2016 berada di Kuantan pada 12 dan 13 Mac lalu sebelum bergerak ke Kota Baru pada Khamis dan meneruskan penjelajahan ke Kuala Terengganu pada Jumaat. Selain itu Adiwati berkata, langkah promosi yang dilakukan produk kosmetik Dnars selaku penaja rasmi menghangatkan lagi APO2016. "Pengasas D'nars, Faziani Rohban Ahmad berasal dari Kelantan. Jadi produk kosmetiknya juga cukup terkenal di sana. Kami difahamkan Dnars sendiri rancak mempromosikan APO2016," katanya. APO 2016 adalah acara anjuran Kumpulan Media Star yang diadakan buat julung kalinya bagi mengiktiraf penggiat pelbagai industri hiburan dan gaya hidup menerusi dunia digital. #APO2016 yang dikendalikan mStar Online dan Suria FM dengan tajaan produk kosmetik Dnars memperkenalkan 17 kategori membabitkan sembilan dalam bidang hiburan, tiga kategori sukan dan lima lagi kategori gaya hidup. Pencalonan dan pengudian secara dalam talian boleh dibuat dengan melayari laman web khas http://apo.mstar.com.my/calon-apo.aspx Anugerah yang bertemakan Glam Digital itu bakal bersiaran secara langsung di TV2 pada 30 April depan.