PETALING JAYA: Dua pembantu khas telah diupah bagi memastikan Siti Nuraisyah Sahrin, pelajar yang putus kedua-dua kaki akibat digilis lori dalam kejadian yang menimpanya pada 18 Januari lalu dapat meneruskan pembelajaran dan kehidupannya dengan selesa. Bapa tiri kepada pelajar berusia 13 tahun itu, Roslan Sardi, 40, berkata beliau membuat keputusan mengupah seorang pembantu dan pemandu bagi menguruskan Siti Nuraisyah atau lebih mesra disapa Ecah selepas anaknya itu dibenarkan keluar dari hospital 4 Mac lalu. "Buat masa sekarang memang saya beri tumpuan 100 peratus kepada Ecah, tapi dalam masa sebulan dua lagi saya akan sibuk dengan projek tanaman cili. "Saya tengok buat masa ini Ecah belum sepenuhnya dapat sesuaikan diri dan perlukan pembantu untuk uruskan dirinya di sekolah dan di rumah, isteri saya pun sibuk uruskan keluarga dan anak-anak yang lain," katanya kepada mStar Online, Isnin. Ecah kembali ke sekolah ditemani Roslan dan ibunya Maimunah Md Razali, 48, serta pembantunya, Salbiah Shafie pada Isnin setelah hampir dua bulan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang akibat kemalangan yang menimpa dirinya. Roslan (kanan) dan isterinya Maimunah (kiri) menemani Aisyah pada hari pertama persekolahannya selepas hampir dua bulan dirawat di hospital akibat kemalangan. Roslan berkata, keputusannya itu dibuat selepas berunding dan mendapat nasihat daripada peguamnya. Katanya, peguamnya telah membuat pengiraan dari segi upah bulanan yang wajar dibayar kepada pembantu dan pemandu yang diupah. "Selepas mendapat nasihat peguam, saya minta bantuan Puteri Umno di kawasan saya untuk cari pembantu. Alhamdulillah mereka berjaya dapatkan seorang ibu tunggal untuk membantu keluarga saya menguruskan Ecah. "Dia akan tinggal dengan kami buat masa ini dan diberikan cuti bila diperlukan. Bagi pemandu pula, dia akan menghantar dan menjemput Ecah di sekolah setiap hari," katanya. Salbiah menolak kerusi roda Ecah di kawasan sekolahnya pada hari pertama persekolahan penggal ini, Isnin. Roslan berkata, selepas peristiwa hitam itu, beliau dan isteri tidak lagi membenarkan Ecah dan anak-anak yang lain pergi ke sekolah menaiki motosikal. Dalam kejadian itu, Ecah yang juga anak keempat daripada tujuh adik-beradik membonceng motosikal Honda EX5 ditunggang kakak tirinya, Syahmin Amira Roslan, 14, dan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah. Mengulas lanjut mengenai keputusan mengambil pembantu, Roslan berkata, beliau tidak melihatnya sebagai beban sebaliknya sebagai satu tanggungjawab yang secara tidak langsung memberikannya semangat untuk berkerja lebih kuat demi keluarga. "Saya tak kesal dengan apa yang berlaku. Saya melihatnya dari sudut positif. "Sekarang ni Ecah pun sudah kembali ke sekolah dan sebagai bapa, saya perlu teruskan tanggungjawab. Saya mahu maju ke hadapan dan tingkatkan pendapatan keluarga, termasuklah untuk membayar upah pembantu Ecah," katanya. Mengenai hari pertama anaknya di sekolah, Roslan berkata, segala-galanya berjalan lancar apabila kedatangan Ecah disambut warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap pada perhimpunan Isnin pagi. Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam, Mokhtar Manijo turut hadir dan memberikan cenderahati kepada Ecah. "Saya amat berterima kasih kepada PPD Sabak Bernam, pihak sekolah dan guru-guru yang telah berusaha menyediakan kemudahan terbaik untuk anak saya menyambung semula pembelajarannya," katanya.