KUALA LUMPUR: Malaysia dan Australia bersetuju untuk berkongsi maklumat dan hasil risikan mengenai usaha memerangi kegansan bagi menangani peningkatan ancaman kumpulan militan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata ia termasuk pemantauan terhadap tempat yang mungkin berlaku keganasan atau kawasan yang dipercayai menjadi sasaran kumpulan pengganas terutamanya Daesh di seluruh rantau Asia Pasifik. Katanya keputusan itu dicapai pada perjumpaan tertutup beliau dengan rakan sejawatannya dari Australia, Senator Marise Payne, yang melakukan kunjungan hormat terhadapnya di sini, Isnin. "Kami perlu memerangi ancaman itu kerana kami tidak boleh membiarkan keadaan yang kita lihat berlaku di Timur Tengah ketika ini, dibawa ke rantau ini. "Sehubungan itu, saya memohon untuk mendapatkan maklumat secara khusus mengenai perkembangan aktiviti militan dari jiran kami seperti Filipina, Thailand, Myanmar dan malah dari China," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan itu di Wisma Pertahanan di sini.