suria

Kerajaan Umum Bantuan Kewangan AS$5,000 Kepada Waris MH17 Warga Malaysia

BANGI: Kerajaan pada Selasa mengumumkan bantuan sekali bayar berjumlah AS$5,000 (RM20,000) kepada setiap keluarga waris warga Malaysia penumpang dan krew pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim ketika mengumumkan perkara itu berkata, Kabinet meluluskan bantuan itu pada 18 Mac lalu.

"Kementerian sedang menyemak semula bilangan senarai mangsa rakyat Malaysia kerana ada dalam kalangan mereka yang memiliki dua kerakyatan," katanya kepada kepada media selepas menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang kementerian itu.

Rohani berkata, bantuan itu akan disampaikan kepada waris-waris mangsa pesawat malang terbabit pada satu majlis khas yang akan diadakan oleh kementerian.

Penerbangan MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 kru dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014. 

Kesemua 298 penumpang dan kru terbunuh.

Selain 44 warga Malaysia, Boeing 777-200 itu juga membawa penumpang warganegara Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand. - Bernama

MH17

Artikel Lain