suria

Kumpulan Ajaran Sesat Millah Abraham Dikesan Beli Banyak Tanah - Polis

KANGAR: Kumpulan ajaran sesat Millah Abraham dikesan telah membeli banyak tanah untuk dijadikan markas operasi mereka, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2) Bukit Aman Datuk Awaludin Jadid pada Rabu.

Katanya, pembelian tanah itu antaranya di Tuaran dan Simunjan di Sabah, adalah dalam usaha untuk menubuhkan sebuah pemerintahan Islam atau Daulah Islamiah di rantau ini.

"Hasil maklumat dan dokumen yang dirampas kita mendapati kumpulan ini telah menyusun kabinetnya termasuk mempunyai 13 Gabenor di setiap daerah dengan Malaysia yang terakhir.

"Tanah di Sabah itu adalah 'promised land' (tanah yang dijanjikan) ketua mereka," kata Awaludin kepada pemberita selepas memberi penerangan pada Seminar Khas Isu Ancaman Keselamatan Negara di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini.

Komuniti ajaran ini diketuai seorang pemerintah bernama Ahmad Musadiq berasal dari Indonesia.

Awaludin berkata pembersihan tanah di Simunjan bagaimanapun terhenti apabila traktor yang digunakan terjatuh ke dalam sungai baru-baru ini.

Katanya kedudukan strategik Simunjan dan Tuaran memudahkan pergerakan ke Kalimantan timur dan utara.

Daulah Islamiah Millah Abraham melibatkan sebahagian Kalimantan, Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia dan Indonesia.

Awaludin berkata polis membantu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyiasat seramai 80 orang pengikut kumpulan itu yang ditahan.

Katanya, kumpulan Millah Abraham bagaimanapun tidak terbabit dengan keganasan dan pemerdagangan manusia.

"Namun, kami tidak akan biarkan sebarang isu terlepas pandang lebih-lebih lagi Perlis yang bersempadan dengan Thailand yang menjadi pintu masuk dan transit pelarian asing," tambahnya.

Aliran tersebut dikatakan sesat kerana menganggap orang lain yang belum dibaiat kafir.

Dalam ajarannya, mereka hanya melakukan solat malam, tanpa solat lima waktu.

Pada dasarnya mereka mengaku pengikut Nabi Ibrahim.

Mereka mencampuradukkan Islam, Kristian, dan Yahudi.

Program anjuran KDN itu dihadiri kira-kira 500 orang pegawai kerajaan, swasta, badan-badan bukan kerajaan dan pelajar sekolah. 

Millah Abraham

Artikel Sebelum

Artikel Lain