suria

Ketua Penerangan Umno Bahagian Cheras Didakwa Pecah Amanah

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno Bahagian Cheras mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Rabu atas pertuduhan pecah amanah melibatkan cek berjumlah RM4,350, dua tahun lalu. 

Zamri Redzuan @ Ridzwan, 50, yang juga Ketua Umno Cawangan Jalan Pasar Pudu, Cheras, dalam kapasitinya sebagai Ketua Umno cawangan itu telah diamanahkan ke atas akaun cawangan itu, didakwa melakukan pecah amanah terhadap akaun tersebut dengan memasukkan cek berjumlah RM4,350 ke dalam akaunnya. 

Wang itu sepatutnya dibayar kepada tukang jahit (Mun Men's Wear) tetapi tidak dibayar.

Tertuduh yang bekerja sebagai peniaga kedai perabot didakwa melakukan kesalahan itu di daerah Cheras, di sini pada 27 Januari 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.  

Hakim, Mohd Nasir Nordin membenarkan Zamri diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah. 

Mahkamah menetapkan 22 April untuk sebutan semula kes dan lima hari dari 9 hingga 13 Mei untuk perbicaraan. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khairul Anwar Wahab memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil lapan saksi dalam perbicaraan itu.

Khairul Anwar juga menawarkan wang jaminan RM15,000 dan memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.  

Peguam, Mohd Baharuddin Ahmad Kassim yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah itu dengan alasan anak guamnya baharu sahaja dimaklumkan mengenai pertuduhan yang dihadapinya dan hanya mampu menyediakan wang RM7,500. 

"Anak guam saya juga memberi kerjasama baik sepanjang siasatan SPRM, beliau tidak ingkar dan hadir ke mahkamah hari ini," katanya dan menambah tertuduh juga merupakan penanggung utama isteri, empat anak dan ibu bapa yang sudah tua. - Bernama

Artikel Sebelum

Bung Moktar Kembali

Artikel Lain