PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memperoleh perintah mahkamah untuk menahan reman seorang pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana kerajaan lebih RM100 juta. Perintah tahanan reman selama tujuh hari mulai hari ini itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman di sini, Khamis. Sementara itu, SPRM turut memperoleh perintah mahkamah untuk melanjutkan tahanan reman seorang pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan dua kontraktor syarikat penganjuran acara selama tujuh hari lagi sehingga 30 Mac selepas tempoh reman tujuh hari sebelum ini berakhir hari ini. Bagaimanapun dua lagi kontraktor syarikat penganjuran acara dan seorang wanita yang merupakan proksi sebuah syarikat yang turut ditahan reman selama tujuh hari sebelum ini, dibebaskan hari ini dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin setiap seorang. Jumaat lepas, SPRM menahan pegawai KBS itu dan lapan lagi individu, termasuk seorang wanita yang disyaki mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta. Sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak 2010 dengan menggunakan bahagian kewangan agensi KBS membuat bayaran kepada 14 syarikat kononnya bagi tujuan menjayakan program berkaitan acara sukan.