PETALING JAYA: Tidak salah untuk masyarakat Melayu mengikut amalan atau budaya orang Arab, kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Menerusi posting di laman Facebook pada Khamis, Mohd Asri berkata walaupun Islam tidak menyuruh penganutnya untuk mengikuti budaya orang Arab, tidak ada yang salah untuk berbuat demikian dan dalam beberapa kes, ia tidak dapat dielakkan. "Ada pihak mengkritik orang Melayu yang meniru budaya Arab termasuk menggunakan istilah-istilah seperti iftar, 'idil fitr dan lain-lain. "Ya, kita akui bahawa Islam tidak memerintahkan kita mengamalkan budaya atas dasar kearaban Arab. Islam itu bukan agama perkauman Arab," katanya. Bagaimanapun, beliau berkata bahawa terdapat banyak perkataan Arab yang biasa digunakan dalam pemikiran Islam seperti berbuka puasa, haji, sujud, rukuk dan sebagainya. Menurutnya keadaan itu sama seperti istilah bahasa Inggeris yang digunakan dalam bidang akademik yang lain. "Lebih daripada itu, al-Quran berbahasa Arab yang tidak boleh ditukar ganti dengan bahasa lain. "Apa yang boleh sekadar terjemahan maksud ayat-ayat al-Quran bagi yang gagal memahami teks Arabnya yang asal," katanya. Selain itu beliau juga menjelaskan bahawa perlakuan memakai jubah walaupun tidak wajib bagi umat Islam, ia tidak boleh dilihat sebagai salah atau pelik, sambil menambah bahawa ia telah lama digunakan sebagai pakaian ilmiah seperti yang dapat dilihat dipakai oleh graduan semasa konvokesyen. Mohd Asri juga berkata adalah aneh apabila ada pihak mengkritik budaya orang Arab namun tidak mengkritik budaya Barat yang buruk, "Ada orang Melayu yang sudah tiada Melayu lagi sekalipun pada upacara 'kemelayuan'. "Tiada salahnya untuk kita kritik budaya yang tidak sesuai dengan identiti baik kita, tapi dengan sikap adil untuk setiap budaya bukan dengan mentaliti yang double-standard," katanya. Jelas Mohd Asri lagi, umat Islam disuruh memahami antara satu sama lain. "Islam tidak menyuruh Melayu menjadi Arab. Tidak pula supaya Melayu menjadi Barat. "Apa yang disuruh adalah seperti Surah al-Hujurat iaitu 'kenal-mengenal antara satu sama lain'. "Sudah pasti antara tujuannya untuk mengambil manfaat dari budaya yang baik dan menghindari budaya yang tidak baik. Isunya bukan Arab ataupun Barat, tapi menilai antara yang positif dan negatif," katanya. Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menggesa orang Melayu supaya tidak menggantikan budaya mereka sendiri dengan budaya Arab. Titah Sultan Ibrahim, baginda lebih suka untuk menggunakan bahasa Melayu seperti Hari Raya dan bukannya istilah seperti Aidil Fitri.