KUALA LUMPUR: Mahkamah perlu mengutamakan kepentingan awam bagi mengelak negara ini menjadi kucar-kacir kerana kesalahan berkaitan perbuatan kumpulan pengganas Daesh adalah kesalahan serius. Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Ab Karim Ab Rahman berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara terhadap seorang bekas juru X-Ray selepas dia mengaku bersalah memiliki 10 item penerbitan yang mempunyai kaitan dengan perlakuan dan perbuatan kumpulan pengganas Daesh. Ahmad Kamil Ghazali, 25, dari Pulau Pinang didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Kompleks Pentadbiran Taman Kechor, Taman Kechor Indah Fasa 2, Jalan Abi Tok Hashim, Kangar, Perlis, pada 7.50 pagi, 19 Ogos tahun lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, dan boleh dilucut hak mana-mana item itu. Dalam keputusannya, Ab Karim berkata ketakutan bukan sahaja bergantung kepada apa yang berlaku dalam perlakuan kumpulan pengganas itu, bahkan dalam memiliki bahan yang berkaitan dengan kumpulan pengganas turut boleh menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat. "Mahkamah berpendapat dalam usia seperti kamu yang masih muda dan faktor dunia tanpa sempadan, tentunya kamu lebih berminat untuk mengetahui dengan isu-isu dunia yang turut terlibat dengan masalah (pengganas Daesh) seperti ini. Mahkamah juga melihat tertuduh tidak memperoleh apa-apa keuntungan dalam memiliki bahan-bahan tersebut, kecuali disebabkan perasaan ingin tahu dan pengaruh rakan sebaya," kata Ab Karim. Namun, mahkamah perlu mengutamakan kepentingan awam bagi mengelak negara ini menjadi kucar-kacir kerana kesalahan tersebut dianggap sebagai kesalahan yang serius. Berdasarkan fakta kes, polis merampas tablet dan telefon bimbit milik tertuduh yang mengandungi 10 item penerbitan berkaitan dengan perlakuan dan perbuatan kumpulan pengganas dan semasa disiasat, dia mengaku memuat turun kesemua penerbitan itu ke dalam tabletnya serta mempunyai pengetahuan mengenai kumpulan pengganas. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh meskipun tindakan tertuduh dilihat hanya ingin mengetahui dan ia bukanlah satu faktor untuk meringankan hukuman. Peguam Pyara Singh mewakili Ahmad Kamil memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mengalami tekanan perasaan dan sifat ingin tahu mendorongnya melakukan kesalahan itu selain menyesal dan insaf serta berjanji tidak mengulangi perkara sama. - Bernama