PUTRAJAYA: Pengawal peribadi kepada ahli perniagaan bergelar Datuk yang parah ditembak dua lelaki di Chaterfield, Downtown KLIA, Sepang pada Jumaat malam kini berada dalam keadaan stabil. Difahamkan mangsa menjalani pembedahan di Hospital Putrajaya tengah hari Sabtu bagi mengeluarkan peluru di belakang bahu kanannya. Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, motif kejadian masih belum diketahui dan siasatan lanjut masih dijalankan. "Mangsa masih dalam keadaan terkejut dan tidak dapat memberi gambaran sebenar suspek yang melepaskan tembakan kepadanya. Apa yang penting ketika ini ialah memastikan keadaan mangsa benar-benar stabil dan selamat baru kita akan mengambil keterangan lanjut daripadanya," katanya. Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu, pengawal peribadi tersebut yang dikenali sebagai Hazrat dilapor sedang memandu kereta jenis Mercedes Benz apabila kenderaannya dihalang dan dua lelaki melepaskan beberapa das tembakan pada kereta tersebut. Mangsa didapati parah pada belakang bahu kanan akibat terkena tembakan yang dilepaskan dari arah hadapan dan cermin sisi sebelah tempat duduk penumpang hadapan. - Bernama