suria

'Powerbank' Meletup: "Nasib Baik Saya Tiada Dalam Kereta"

NIBONG TEBAL: Seorang jurutera bersara berusia 72 tahun bersyukur kerana dia tidak berada dalam kereta apabila 'powerbank' yang ditinggalkannya di satu ruang simpanan barang dalam keretanya terbakar.


Mengimbas kembali kejadian itu petang Sabtu lalu, Tan Heng Swee berkata dia telah meletakkan kereta Proton Iswaranya di bangunan Old Frees Association di Jalan Sultan Ahmad Shah dan pergi makan tengah hari bersama isterinya, Alice Tan, 67, di sebuah restoran berdekatan.

"Kira-kira sejam kemudian, pekerja tempat letak kereta bergegas memberitahu saya bahawa terdapat asap berkepul dari kereta saya. Saya terus mencapai pemadam dan memadamkan api.

"Kemudian, saya mendapati kebakaran itu berpunca daripada powerbank.

"Saya percaya cuaca panas telah menyebabkan berlakunya letupan kecil itu. Nasib baik, tiada siapa yang cedera," katanya di rumahnya di Simpang Ampat, Jumaat.

Heng Swee kemudian menulis mengenai kejadian itu di laman Facebook untuk memberi amaran kepada orang lain tentang bahaya meninggalkan powerbank di dalam kereta dan ia menjadi viral.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan mana-mana alat elektrik atau powerbank dalam kenderaan mereka," katanya.

Katanya, kerosakan terhadap keretanya yang berusia 15 tahun itu masih tidak dapat ditentukan tetapi pembaikan dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu.

Bulan lepas, Persatuan Pengguna Pulau Pinang telah mendedahkan bahawa beberapa jenis powerbank dibuat dengan bateri murah dan boleh meletup dengan mudah atau menyebabkan kebakaran.

Presidennya S.M. Mohamed Idris berkata jenis powerbank yang diimport ini mudah didapati di pasar lambak, pasar malam dan pusat beli-belah.
powerbank meletup, Tan Heng Swee

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain