suria

Qari Kelantan Pertahan Kejuaraan, Qariah Johor Muncul Juara

Wan Ainuddin Hilmi Abdullah dan Nor Azrah Ayub dinobatkan sebagai johan Qari dan Qariah Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Kebangsaan ke-59 Tahun 1437H/2016M di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya, Sabtu malam. Foto Bernama

PUTRAJAYA: Wan Ainuddin Hilmi Abdullah dari Kelantan berjaya mempertahankan kejuaraannya pada Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-59 yang berakhir di sini, Sabtu malam.

Nor Azrah Ayub dari Johor muncul johan qariah.  

Johan keseluruhan dimenangi oleh Johor dengan markah 84.50 peratus. 

Markah ini berdasarkan jumlah purata tertinggi peserta qari dan qariah dari sesebuah negeri peserta.

Johan qari dan qariah seterusnya akan mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa pada 2 hingga 7 Mei di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. 

Mereka masing-masing menerima wang tunai RM15,000, piala iringan, sebuah kereta Proton Exora dan pakej menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

Manakala, naib Johan qari dimenangi oleh Zul-Hasyimi Mohamed Yunus dari Pahang dan naib johan qariah, Nor Faizah Panut, dari Selangor.

Masing-masing menerima wang tunai RM10,000, cenderamata dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga dimenangi oleh Mohamad Husaini Mahmur dari Negeri Sembilan dan Puteri Kalimatul Azzua Hamid dari Perak.

Mereka masing-masing menerima wang tunai RM7,500 cenderamata dan sijil penyertaan. 

Peserta-peserta lain menerima hadiah saguhati berupa wang tunai RM3,000, berserta cenderamata dan sijil penyertaan. 

Hadiah disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Seramai 14 qari dan 14 qariah mewakili negeri-negeri serta johan bertahan qari dan qariah edisi lalu mengambil bahagian pada tilawah kali ini yang berlangsung di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya. 

Tilawah itu bermula 21 Mac lepas.  

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Artikel Lain