suria

Tiga Termasuk Ahli Perniagaan Ditahan Bantu Siasatan Kes Tembak Di Sepang

Anggota unit forensik polis memeriksa sebuah kereta yang terlibat dalam kes tembakan di persimpangan bulatan Chesterfield Jumaat malam. - fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Polis menahan tiga individu termasuk seorang ahli perniagaan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pengawal peribadi ditembak dua lelaki, berhampiran pekan Chaterfield, Pusat Komersial KLIA di Sepang Jumaat lalu

Menurut jurucakap polis, ketiga-tiga suspek yang berumur dalam lingkungan 30an-hingga 40-an itu ditahan di tiga buah rumah di Skudai, Johor oleh pasukan khas pada 2 pagi Sabtu.

Katanya, pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut, bagaimanapun tidak membuat sebarang rampasan dalam serbuan itu.

"Kesemua direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Yusof ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu, pengawal peribadi terbabit yang dikenali sebagai Hazrat dilapor sedang memandu kereta jenis Mercedes Benz apabila kenderaannya dihalang dan dua lelaki melepaskan beberapa das tembakan pada kereta tersebut.

Mangsa didapati parah pada belakang bahu kanan akibat terkena tembakan yang dilepaskan dari arah hadapan dan cermin sisi sebelah tempat duduk penumpang hadapan.

Dia kini dilaporkan stabil. - BERNAMA


kes tembak, Sepang, pengawal peribadi

Artikel Lain