suria

Henti Kelirukan Pengguna

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Iklan mengelirukan di media elektronik menjadi perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terutamanya yang mempromosikan produk atau perkhidmatan kesihatan dan menguruskan badan.

Menyedari hakikat ini, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) iaitu badan bebas di bawah suruhanjaya itu ditugaskan untuk menguatkuasakan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia.

Badan itu juga bertanggungjawab mengeluarkan garis panduan yang ditetapkan khusus untuk iklan yang berkaitan dengan produk dan perkhidmatan kelangsingan tubuh badan.

Pengiklan atau iklan yang disifatkan sebagai mengelirukan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000.

Di bawah Kod Kandungan, CMCF melarang iklan produk menguruskan badan, sama ada digunakan secara fizikal atau untuk dimakan.

Dakwaan bahawa sesuatu produk dan perkhidmatan itu boleh menyebabkan penurunan berat badan hanya akan diterima sekiranya ia mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Garis panduan berkenaan berkuat-kuasa pada 25 Januari lalu.

Pengarah Eksekutif CMCF, Mohd Mustaffa Fazil Mohd Abdan berkata peraturan terkini juga akan memberi kesedaran yang lebih baik untuk pengguna mengenai hak-hak mereka.

"Bagi pengguna, mereka akan menyedari perkara-perkara yang tidak boleh diiklankan jika mereka melihat garis panduan. Mereka akan tahu sekiranya produk itu mematuhi undang-undang yang sedia ada atau sebaliknya," katanya.

CMCF diberi kuasa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA 98) yang bertanggungjawab bagi penyediaan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia atau kod lain jika perlu.

Artikel Lain