suria

99 Kes, Termasuk Satu Kematian Berkaitan Gelombang Haba Dilaporkan

- Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan merekodkan 99 kes termasuk satu kematian berkait haba dari 1 Mac hingga Ahad.

Semua kes tersebut akibat cuaca panas dan gelombang haba yang sedang melanda negara, mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, 22 kes adalah 'heat cramp', 63 kes kelesuan haba, 14 kes strok haba termasuk satu kematian di Segamat, Johor.

Namun begitu, katanya, pemantauan kes harian yang dilaporkan dari 22 Mac hingga semalam mendapati tiada kes strok haba, manakala kes kelesuan haba dan heat cramp pula secara amnya menunjukkan trend penurunan.

"Cuaca panas yang terlampau boleh menyebabkan seseorang kerap berpeluh dan kesannya, cecair dalam tubuh akan berkurangan.

"Ia juga akan menyebabkan individu terbabit akan mudah berasa letih dan kurang bertenaga serta lebih berisiko mengalami dehidrasi dan strok haba," katanya dalam satu kenyataan di sini Isnin.

Dr Noor Hisham menasihati kanak-kanak dan warga emas supaya menjaga kesihatan kerana mereka antara yang paling berisiko mendapat masalah kesihatan.

Beliau turut meminta orang ramai menangguhkan atau menghadkan aktiviti lasak seperti berkayak, berbasikal, marathon, memanjat gunung dan lain-lain aktiviti semasa berlaku gelombang haba hingga keadaan kembali reda.

"Sekiranya aktiviti luar tidak dapat dielakkan, maka dinasihatkan agar memendekkan tempoh aktiviti atau berehat pada tempoh panjang dan meminum banyak air pada setiap kali waktu rehat," katanya.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berkata cuaca panas ekoran fenomena El Nino yang melanda negara dijangka makin berkurangan pada Jun ini.

Artikel Lain