KUALA LUMPUR: Dua tertuduh yang terlibat dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi pada Isnin terhadap pertuduhan alternatif membantu menyembunyikan mayat dan menyebabkan kematian Kevin. Kedua-dua tertuduh S. Nimalan, 22, dan A. Thinesh Kumar, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan alternatif itu dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah. Sebelum ini, kedua-dua mereka didakwa terhadap pertuduhan membunuh Kevin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa berkata pertuduhan alternatif itu ditawarkan setelah meneliti fakta kes dan peranan dua tertuduh dalam kes itu. Nimalan, pelajar kolej, didakwa membantu menyembunyikan mayat dan menghapuskan kenderaan bernombor WA6264Q dengan niat untuk mengelakkan enam tertuduh lain daripada diambil tindakan undang-undang. Dia didakwa melakukan kesalahan itu dari Jalan Dutamas 1, di sini ke ladang kelapa sawit, Kampong Sungai Samak, Hutan Melintang, Hilir Perak, antara 7 pagi 4 September 2015 hingga 2 pagi keesokannya mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Thinesh, seorang penganggur, didakwa bersama-sama dengan enam individu yang lain telah menyebabkan kematian Kevin dari Jalan Dutamas 1, di sini ke No 20, Desa Mentari, Petaling Jaya, antara 7 pagi hingga 11.30 pagi, 4 September 2015. Dia didakwa melakukan homisid salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh yang boleh dihukum mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Terdahulu, Abdul Razak memaklumkan semua dokumen berkaitan kes itu telah diserahkan kepada pihak pembelaan. Mahkamah turut mengekalkan tarikh perbicaraan pada 6 April ini. Pada 27 Januari lepas, tujuh lelaki termasuk seorang doktor tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Kevin yang mayatnya ditemukan di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 September 2015. Enam lelaki iaitu G. Gunasekaran, 47; R. Dinishwaran, 23; Thinesh Kumar; M.Vishwanath, 25; Nimalan; dan S. Ravichandaran, 44, mengaku tidak bersalah membunuh Kevin yang dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya Sentul ke No. 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi dan 8 malam pada 4 Sept 2015. Pakar Patalogi Kolonel Dr K. Kunaseegaran, 52, pula mengaku tidak bersalah bersubahat dengan enam lelaki itu membunuh Kevin, 55, di tempat, tarikh dan pada masa yang sama. Kunaseegaran didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala enam lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. Peguam V. Rajehgopal mewakili Gunasekaran, Vishwanath, Nimalan dan Ravichandaran sementara peguam M. Manoharan mewakili Dinishwaran dan Thinesh Kumar manakala Kunaseegaran diwakili peguam Datuk N.Sivananthan. Kevin dilaporkan hilang pada 4 September 2015 dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini untuk ke Putrajaya menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q.