KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata isu politik yang timbul di Terengganu telah berakhir dan kemelut yang disebar luas di media sosial hanyalah spekulasi semata-mata. Ahmad Razif yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri turut menafikan akan ada Pilihanraya Negeri (PRN) seperti yang diviralkan sejak beberapa minggu lepas. Isu berkenaan timbul setelah Anggota Dewan Undangan Negeri Kijal, Datuk Seri Ahmad Said mengemukakan undi tidak percaya ke atas Razif pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), 8 Mac lepas namun ditolak Speaker DUN, Datuk Mohd Zubir Embong. "Kita tak ada isu di Terengganu, ianya hanya viral dan kita tak ada masalah...Terengganu masih lagi 17 BN (Barisan Nasional), 14 PAS dan satu PKR. Kalau berlaku apa-apa keadaan di DUN Kijal, kita masih lagi 16 BN, 14 PAS, satu PKR, satu Bebas dan kita masih lagi kerajaan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan kira-kira 100 pengamal media pada Majlis Makan Malam Santai Menteri Besar bersama Media Terengganu di sini, Isnin malam. Dalam pada itu, Ahmad Razif turut meminta kepada semua pihak untuk menghentikan segala provokasi yang hanya boleh merugikan rakyat. "Saya tak nampak akan terjadi apa-apa...saya rasa banyak provokasi yang mungkin cuba menggagalkan apa yang sedang kerajaan buat sekarang ini," katanya. Beliau berkata tidak ada isu serius yang berlaku dan jangan lagi dijadikan isu ini sebagai tajuk utama yang hanya boleh membawa kerugian dan kebimbangan kepada rakyat hingga menyebabkan segala pembangunan yang dirancang dan sedang dilaksanakan gagal. "Jadi saya rasa kita tak perlu layan sangat tentang isu-isu ini dan kita perlu pandang ke depan...apa yang penting ialah kepentingan rakyat dan apa yang berlaku hanyalah seperti ribut dalam cawan," katanya. Ahmad Razif berkata beliau akan terus memandang positif dan meneruskan segala pembangunan yang telah dirancang bagi memastikan setiap projek yang dirangka untuk kepentingan rakyat akan dilaksanakan. "Saya akan terus bergerak ke depan kerana Terengganu sekarang sudah berada di atas landasan yang betul dan kita tak boleh menjadikan apa yang berlaku sebagai penghalang untuk kita laksanakan pembangunan yang dirancang termasuk projek yang dirancang oleh bekas-bekas menteri besar dahulu yang mana apa sahaja untuk rakyat akan menjadi keutamaan bagi saya," katanya.