KUALA LUMPUR: Tindakan seorang tukang cat yang mengelar dahi dan perut seorang penganggur ketika berselisih faham membawa padah apabila dia dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini Selasa. Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Yeow Wee Wee, 46, selepas tertuduh mengaku bersalah dengan sengaja mencederakan A. Kalimathu, 54, dengan menggunakan sebilah pisau pemotong kertas sehingga mendatangkan kecederaan pada bahagian kepala dan perut. Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 26 Mac lepas. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah gerai di Jalan Air Keroh, Setapak, di sini pada 7.39 malam, 25 Mac lepas mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu. Berdasarkan fakta kes tertuduh berselisih faham dengan mangsa di sebuah gerai sehingga menimbulkan pergaduhan sebelum tertuduh bertindak mengelar dahi kanan dan perut mangsa. Ketika rayuan tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum dengan alasan dia perlu menanggung kedua ibu bapanya yang sudah tua. Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira kes jenayah mendatangkan kecederaan yang kerap berlaku di negara ini. - BERNAMA