PETALING JAYA: Suruhanjaya Pengangkutan Awan Darat (SPAD) menegaskan perkhidmatan Uber dan GrabCar sedang dalam proses untuk dikawal selia selepas pemandu teksi membuat bantahan terhadap aplikasi perkhidmatan itu di Kuala Lumpur pada Selasa. "Suruhanjaya itu sedang menjalankan usaha untuk memastikan aplikasi seperti Uber dan GrabCar dapat dikawal selia dibawah undang-undang. "Namun langkah ini akan memerlukan masa," kata seorang jurucakap SPAD dalam satu kenyataan. Menurut jurucakap SPAD, kenderaan yang menggunakan aplikasi Uber dan GrabCar tidak mempunyai lesen yang sah daripada pihak berkuasa seperto SPAD dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Beliau berkata SPAD prihatin terhadap isu di dalam industri teksi dan sedang berusaha untuk mendapatkan penyelesaian sesuai bagi meningkatkan pendapatan dan kebajikan pemandu teksi. "SPAD akan terus bekerjasama dengan industri teksi dan pihak berkepentingan serta mengimbangkan keperluan dan terus melindungi kepentingan penumpang untuk menyediakan perkhidmatan yang baik," katanya. Sebelum ini, hampir 100 pemandu teksi meletakkan kenderaan mereka di sepanjangan Jalan Bukit Bintang dan menghalang lalu-lintas selama sejam. Mereka menuntut perkhidmatan Uber dan GrabCar diharamkan. Polis kemudiannya mengarahkan semua pemandu teksi supaya bersurai. Lima pemandu teksi ditahan selepas amaran terakhir tidak diendahkan. Keadaan lalu-lintas kembali lancar di Jalan Bukit Bintang kira-kira pukul 12.30 tengah hari. Sejak kebelakangan ini, pemandu teksi membuat bantahan terhadap aplikasi tersebut dengan mendakwa ia punca pendapatan mereka merosot. Perkhidmatan Uber dan GrabCar dilihat sebagai pilihan alternatif kerana jauh lebih murah berbanding teksi di sini. Beberapa pengguna mendakwa pemandu perkhidmatan teksi tersebut menyediakan perkhidmatan lebih baik.