suria

Khir Toyo Dapat Pelepasan Penjara 4 Bulan - KDN

PUTRAJAYA: Permohonan parol bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo selepas menjalani hukuman penjara selama enam bulan di Penjara Kajang, diluluskan Lembaga Parol Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bersidang pada Selasa.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata Dr Mohamad Khir diparolkan untuk menjalani baki hukuman penjara selama dua bulan di luar penjara sehingga tarikh pembebasan hukumannya pada 29 Mei depan, jika beliau tidak melanggar syarat yang ditetapkan Lembaga Parol.

Alwi menjelaskan di bawah sistem penjara Malaysia, seseorang banduan layak mendapat remitan iaitu satu pertiga daripada jumlah hukuman sekiranya Jabatan Penjara berpuas hati dengan tahap pemulihannya semasa menjalani hukuman di penjara.

"Dalam konteks Dr Mohamad Khir, beliau mendapat remitan empat bulan iaitu hanya menjalani hukuman penjara selama lapan bulan sehingga 29 Mei ini walaupun hukuman 12 bulan penjara yang dijatuhkan terhadapnya yang berkuat kuasa 29 September 2015 sepatutnya berakhir pada 28 Sept tahun ini," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Menurutnya Dr Mohamad Khir tertakluk kepada Perintah Parol [Subsekyen 46H(3) Akta Penjara 1995 (Akta 537)] yang menggariskan 27 syarat.

Dr Mohamad Khir dikehendaki melaporkan diri kepada Pegawai Parol Daerah Klang pada masa yang ditentukan dan menetap di alamat sebagaimana yang dinyatakan pada Perintah Parol.

Beliau juga perlu mengikuti program pemulihan yang diadakan atau diarahkan serta tidak boleh meninggalkan daerah tanpa kebenaran Pegawai Parol serta tidak boleh meninggalkan Malaysia.

Alwi berkata sistem parol dilaksanakan di Malaysia sejak 2008 bagi memberi peluang kepada banduan untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat umum setelah menjalani hukuman, dengan banduan yang layak boleh memohon untuk menjalani baki hukuman di luar penjara.

"Pelaksanaan Perintah Parol yang pertama dibuat pada 26 Julai 2008 membabitkan 64 banduan. Sejak sistem parol dilaksanakan sehingga 14 Mac 2016, seramai 12,550 banduan telah dibenarkan menjalani parol di luar penjara," katanya.

Beliau menjelaskan semua kesalahan membabitkan hukuman minimum satu tahun penjara layak memohon untuk diparolkan kecuali kesalahan-kesalahan yang ditetapkan dalam Jadual Keempat Akta Penjara 1995 (Akta 537) seperti berperang atau cubaan berperang dengan Yang di-Pertuan Agong, Raja atau yang Dipertua Negeri.

Kesalahan lain yang tidak layak memohon parol ialah memberi atau mereka keterangan palsu dengan niat hendak menyebabkan seseorang disabitkan atas kesalahan yang membawa hukuman mati; menyebabkan kematian; merogol dan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii, katanya.

Dr Mohamad Khir Toyo

Artikel Lain