WASHINGTON: Malaysia yakin dapat menyertai Program
Pengecualian Visa Amerika Syarikat (US VWP) penghujung tahun ini jika usaha
mengurangkan peratus penolakan permohonan visa Amerika tercapai.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pada masa
ini, kadar penolakan permohonan visa Amerika di kalangan rakyat Malaysia adalah
sebanyak 3.34 peratus, kebanyakannya disebabkan masalah teknikal iaitu kesalahan
mengisi borang permohonan.
"Jumlah permohonan yang ditolak adalah tinggi daripada syarat yang ditetapkan
oleh kerajaan Amerika Syarikat iaitu perlu di bawah tiga peratus," katanya
kepada wartawan Malaysia di sini Selasa.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, tiba di sini awal pagi Selasa
untuk lawatan kerja seminggu, antaranya untuk menghadiri Sidang Kemuncak
Keselamatan Nuklear.
Sehubungan itu, timbalan perdana menteri berkata rakyat Malaysia yang
memohon untuk mendapatkan visa bagi memasuki Amerika perlu memastikan permohonan
yang dibuat tidak mempunyai kesilapan kerana ia akan melewatkan penerimaan
Malaysia ke program US VWP.
Ahmad Zahid berkata beberapa kempen kesedaran telah dilakukan oleh Kedutaan
Amerika Syarikat yang turut dibantu oleh Persatuan Persahabatan Malaysia-
Amerika Syarikat dan majlis perniagaan dalam memberi panduan kepada rakyat
Malaysia dalam membuat permohonan visa Amerika dalam talian.
Beliau berkata dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri, terutama Jabatan
Imigresen, telahpun memenuhi syarat untuk menyalurkan laporan kepada Interpol
secara masa nyata dan dalam tempoh 24 jam mengenai kehilangan serta kecurian
pasport rakyat Malaysia.
Katanya masalah yang masih dihadapi kini adalah kadar lebih tiga peratus
permohonan visa rakyat Malaysia yang ditolak.
Ahmad Zahid berkata perkara itu adalah antara tiga isu utama yang akan
dibincangkan dengan beberapa pegawai kanan Amerika termasuk Susan Elizabeth
Rice, Penasihat Keselamatan Negara di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama,
pada Rabu ini.
Timbalan perdana menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Agensi
Perisikan Pusat (CIA) John Brennan; Timbalan Setiausaha Negara Anthony J
Blinken; Timbalan Setiausaha Keselamatan Dalam Negara Alejandro Mayorkas dan
Penolong Setiausaha Negara bagi Hal Asia Timur dan Pasifik Daniel Russel.
Ahmad Zahid berkata beliau juga akan membincangkan usaha Malaysia untuk
meningkatkan kedudukan daripada Tahap Dua kepada Tahap Satu dalam isu
pemerdagangan manusia.
"Ini mungkin mengambil masa yang agak panjang kerana ada beberapa syarat yang
akan ditentukan oleh mereka (kerajaan Amerika).
"Namun tidak mustahil untuk kita capai hasrat itu kerana usaha KDN, PDRM dan
Kementerian Luar serta beberapa agensi penguatkuasaan ke arah penentuan kepada
syarat-syarat itu sedang berjalan," katanya.
Ahmad Zahid berkata beliau sendiri akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa
tertinggi bagi menyelaras kementerian dan agensi yang terlibat.
"Ini kita lakukan bukan mahu tunduk kepada Amerika Syarikat tetapi
syarat-syarat itu adalah piawaian antarabangsa yang harus diikuti bagi
meletakkan Malaysia ke taraf negara maju," katanya.
Beliau berkata usaha ini mampu dicapai setelah berjaya meletakkan kedudukan
negara di Tahap Dua setelah diturunkan ke Tahap Tiga dalam masa tidak sampai
setahun daripada tempoh yang ditetapkan.
Katanya usaha meletakkan kembali kedudukan negara ke Tahap Dua turut dibantu
pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta Kedutaan Amerika di
Kuala Lumpur.
Antaranya menerusi pembabitan NGO dalam melakukan pemulihan, memberi
perlindungan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada mangsa pemerdagangan
manusia di samping langkah kerajaan meminda Akta Pemerdagangan Manusia yang
diluluskan Parlimen pada Julai lalu, kata Ahmad Zahid.
Timbalan perdana menteri berkata beliau juga akan membangkitkan tentangjenayah rentas sempadan, pengedaran senjata dan dadah serta pencegahan pengubahan wang haram.
Beliau akan turut membincangkan isu berkaitan Daesh dengan berkongsi pengalaman Malaysia dalam radikalisasi dan perkembangan di Laut China Selatan berikutan penambakan di beberapa terumbu di kawasan negara jiran oleh pihak tertentu.
Ahmad Zahid sebelum itu menghadiri majlis makan malam anjuran Kedutaan Malaysia di Amerika bagi meraikan lawatan kerjanya di Washington. -Bernama