KUALA LUMPUR: Kerajaan masih menunggu persetujuan daripada kerajaan Mozambique dan Afrika Selatan untuk memulakan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 di perairan kedua-dua negara itu, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau berkata, pihak Mozambique dan Afrika Selatan dijangka memberi respons dalam masa seminggu atau dua minggu lagi kerana mereka perlu membuat perancangan teliti untuk menubuhkan sebuah pasukan khusus untuk pencarian pesawat MH370. "Kita tunggu dulu...kita (kerajaan) telah pun menghantar pasukan ke Mozambique untuk membincangkan mengenai misi pencarian MH370 kerana Malaysia tidak mempunyai kedutaan di sana. "Misi pencarian pesawat MH370 di perairan Mozambique dan Afrika Selatan adalah mencabar dan sukar berikutan kedalaman dan keluasan lautannya," katanya ketika ditemui pemberita di bangunan MCA di sini, Khamis. Minggu lepas, Tiong Lai mengesahkan dua lagi serpihan yang dijumpai di Mozambique dan juga di Afrika Selatan pada 28 Mac lepas, berkemungkinan besar milik pesawat itu memandangkan kedua-duanya sama dengan panel sebuah pesawat Boeing 777. Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada pengesanan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014. Pada masa ini, usaha mencari pesawat itu tertumpu di selatan Lautan Hindi. Tiong Lai berkata, China telah pun menghantar sebuah kapal bernama Dong Hai Jiu 101 ke pelabuhan Fremantle, Australia untuk mencari 'towfish SLH-ProSAS-60' yang hilang di lautan. Pencarian peralatan sonar 'towfish SLH-ProSAS-60' itu akan melambatkan misi pencarian MH370 yang dijangkakan akan tamat selewat-lewatnya pada bulan Jun depan, namun Malaysia, Australia dan China tetap memberi komitmen sepenuhnya dalam meneruskan misi pencarian tersebut, katanya. Beliau berkata, apabila lebih banyak serpihan pesawat dijumpai di sekitar perairan Mozambique, Afrika Selatan dan di selatan Lautan Hindi maka lokasi misi pencarian MH370 berada di kawasan yang tepat seperti yang ditetapkan sebelum ini. - Bernama