suria

Pesakit Dialisis Jalani Rawatan di Tanah Suci

ASSALAMUALAIKUM. Kita sering terdengar pesanan agar jaga kesihatan di Tanah Suci sebelum melangkah untuk menunaikan umrah. Tidak kurang juga pesanan yang meminta agar tidak lupa makan ubat-ubatan jika sudah berpenyakit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

Jika penyakit sedia ada dan dibekalkan ubat-ubatan, insha Allah jemaah tidak begitu gusar tetapi bagaimana pula di kalangan mereka yang perlu menjalani rawatan dialisis ketika di Tanah Suci Makkah atau Madinah?

Pelbagai persoalan bermain di fikiran mereka kerana bimbang tidak dapat menjalani rawatan dialisis jika menjadi tetamu Allah. Segala persoalan ini juga sekali gus membantutkan usaha mereka untuk beribadat di Tanah Suci.

Pada Mei 2015, saya berpeluang menunaikan umrah bersama-sama pesakit buah pinggang yang perlu menjalani rawatan dialisis. Arif, berusia 22 tahun dan berasal dari Taman Sri Rampai, Setapak, Kuala Lumpur.

Kali pertama berjumpanya menyebabkan hati saya terasa sebak kerana beliau anak yatim piatu dan disebabkan penyakit dan rawatan yang perlu diterima menjadikan anak muda itu tidak dapat menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi di Kota Bharu, Kelantan.

Saya mengenali Arif melalui Penerbit Eksekutif program Bersamamu dan Nasi Lemak Kopi-0 (NLKO), Mazlin Nordin. Ketika itu, saya menyatakan cadangan Farhan Travel & Tours untuk menaja dua krew media bagi program NLKO ke Tanah Suci Makkah dan Madinah.

Mazlin bersetuju dengan cadangan agensi pelancongan itu dan memohon agar menambah tajaan kepada seorang lagi krew penerbitan. Pengurusan agensi pelancongan itu bersetuju dengan permintaan berkenaan.

Dalam masa yang sama, Mazlin bertanya mengenai usaha membawa seorang pesakit buah pinggang iaitu responden program Bersamamu ke Tanah Suci tetapi membangkitkan mengenai rawatan dialaisis yang perlu dijalani responden berkenaan.

Responden itu adalah Arif dan rakaman penggambaran disiarkan di dalam program Bersamamu ketika Ramadan. Sejurus saya mendapat jawapan daripada pihak pengurusan, saya lantas menghubungi Mazlin dan menyatakan urusan rawatan dialisis boleh diuruskan.

Sehubungan itu, Mazlin berusaha mencari tajaan untuk Arif bagi mengerjakan umrah. Rezeki menyebelahi Arif kerana ada seorang ahli perniagaan bermurah hati untuk menaja beliau. Sebelum berangkat, saya turut meluangkan masa bertemu Arif dan menghubunginya beberapa kali untuk mengetahui tahap kesihatan dan rawatan yang sedang dijalani.

“Pastikan Arif bawa semua dokumen dan rekod perubatan untuk melancarkan lagi rawatan dialisis di sana kelak,” pesan saya.

Arif sekadar mengangguk dan wajahnya terpancar keriangan kerana bakal bergelar tetamu Allah. Sehari sebelum berangkat, Arif menjalani rawatan dialisis untuk memastikan keadaan kesihatannya tidak terjejas untuk menuju Baitullah.

Mazlin juga begitu prihatin terhadap tahap kesihatan dan mendapatkan rekod perubatan dan dialisis daripada pusat yang mengendalikan dialisis untuk anak muda yang bertubuh kurus dan berkulilt sawo matang.

Setelah semua persiapan diatur rapi, berangkatlah Arif bersama-sama tiga krew media, iaitu Mazlin, Teh Syuhaida dan Zahir pada 28 Mei 2015. Saya dan Norhaita, eksekutif umrah mewakili Farhan Travel & Tours dalam kunjungan itu.

Selain fokus utama adalah Arif yang bakal menjalani rawatan dialisis, penggambaran juga dibuat di lokasi bersejarah di kedua-dua kota suci selain rakaman sambutan Aidilftri di kediaman warga Malaysia yang bermastautin di Makkah.

Penerbangan menerusi pesawat Qatar Airways transit di Doha untuk 45 minit sehingga menyebabkan penumpang yang akan berangkat ke Jeddah bergegas ke balai berlepas yang ditetapkan. Sejurus tiba di Jeddah, kami meneruskan pula perjalanan ke Madinah.

Keesokan hari krew media, saya, Norhaita dan seorang kenalan yang dikenali sebagai Ustaz Wan menemani Arif ke sebuah pusat rawatan dialisis Namun setibanya kami di depan pusat rawatan itu, Ustaz Wan mengatakan ia ditutup kerana Jumaat.

Kami pulang hampa kerana tidak sangka pusat rawatan dialisis tidak beroperasi. Pengawal keselamatan di situ menasihatkan kami supaya datang keesokan hari.

Tanpa berlengah kami pulang ke hotel untuk bersolat Zuhur berjemaah. Namun, pada masa yang sama, perasaan bimbang turut bersarang di hati.

“Che Lin (Mazlin) boleh ke Arif tak jalani rawatan dialisis hari ini?” tanya saya.

“Insha Allah boleh kak. Dia baru juga jalani dialisis pada Rabu petang, jadi mudah-mudahan dia boleh bertahan,” balas Mazlin penuh yakin.

Setelah Jumaat tiada peluang untuk jalani rawatan dialisis sudah tentu Sabtu menjadi satu-satunya hari yang Arif perlu menerima rawatan. Secara kebetulan Sabtu juga untuk ziarah luar di Madinah. Sebagai tetamu Allah yang kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci sudah tentu Arif perlu diajak ziarah luar.

Setelah berbincang, akhirnya Arif mengikut semua jemaah untuk program ziarah ke Masjid Quba’, Masjid Qiblatain, makam syuhada’ Uhud dan ladang tamar. Wajahnya nampak letih tetapi semangatnya kuat untuk beribadat dan berziarah.

Sejurus meletakkan semua barangan yang dibeli di dalam bilik hotel masing-masing, kami menemani Arif ke pusat perubatan yang dikunjungi pada Jumaat dan sekali gus mahu merakamkan proses rawatan berkenaan.

Kedatangan kami ke pusat perubatan itu disambut mesra oleh ketua jururawat. Beliau membenarkan kami melakukan penggambaran di pusat rawatan itu. Justeru, tanpa berlengah, Zahir meletakkan tripod pada kedudukan yang sesuai.

Sejurus Arif baring dan rawatan dialisis bermula, krew media mula melaksanakan tugas mereka. saya pula sekadar memegang kamera telefon untuk mengambil foto rakaman yang dibuat oleh krew media.

Pengarah Urusan Farhan Travel & Tours, Ahmad Fareez Farhan pula bersedia di depan kamera untuk menjawab soalan dikemukakan oleh Mazlin. Namun secara tiba-tiba masuk seorang doktor lelaki bertubuh tegap dan berbangsa Arab.

“What is this? (Apa ini?),” ujar doktor berkenaan dengan nada kasar.

Beliau terus berbahasa Arab dan memanggil ketua jururawat untuk memberi penerangan kepadanya berkaitan kehadiran kami. Melihatkan perlakuan doktor itu, kami terasa gementar kerana bimbang dia akan mengambil kamera dan melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Namun, Alhamdulillah, beliau sekadar menegur ketika itu dan membiarkan kami bingkas mengambil barang-barang keperluan dan berlalu meninggalkan pusat dialisis berkenaan.

Penggambaran terpaksa dihentikan serta merta. Mujur ketika itu, sebahagian besar penggambaran berjaya dirakamkan. Peristiwa itu meninggalkan kenangan manis, terutama apabila memikirkan semula kami tergamam sejurus ditegur oleh doktor berkenaan.

Kami keluar dari bilik dialisis dan membiarkan Arif menjalani rawatan bersendirian. Kami kemudiannya ke pusat beli-belah berhampiran untuk menikmati makan tengah hari di restoran Al-Baik dan seterusnya pulang semula ke hotel.

Kami tidak menunggu Arif kerana rawatan dialisis mengambil masa empat jam. Selepas empat jam, mutawif dan Zahir mengambil  Arif semula dan membawanya pulang untuk berehat di hotel penginapan.

Selepas Isyak saya terlihat Arif di dewan makan dan bertanya khabar beritanya.

“Macam mana tadi Arif?” soal saya.

“Alhamdulillah. Ok,” balas anak muda yang tidak banyak bercakap itu.

“Makanlah dulu. Lepas ini, berehatlah sebab esok kita akan berangkat ke Makkah. Di Makkah banyak guna tenaga sebab kita perlu sempurnakan tawaf dan saie,” pesan saya.

“Baiklah. Terima kasih,” balas Arif.

“Di pusat rawatan tadi mereka ada tanya apa-apa lagi tak?” tanya saya.

“Tak ada. Mereka Cuma tengok rekod perubatan saya. Masa di sana tadi, saya dapat makan juga. Tapi tak banyaklah,” ujar Arif.

Esoknya, pada 31 Mei 2015, berangkatlah kami ke Tanah Suci Makkah untuk menyempurnakan ibadat umrah.

Semua tampak tenang. Begitu juga Arif. Beliau sering dilihat bersama-sama Zahir dan bapa saudara Teh Syuhaida yang dipanggil Pak Uda. Mereka sering memberi tunjuk ajar dan nasihat kepadanya agar menjaga kesihatan dan keselamatan.

Di Makkah, bagaimana pula rawatan dialisis dijalankan? Ikuti sambungan kisah Arif pada minggu depan, insha Allah.


Artikel Sebelum

Artikel Lain